mutakhir

Tokan otai masuk 'jerat'

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

LELAKI, 49, dipercayai tokan yang membekal dadah kepada penagih di Lembah Klang sejak 1990 akhirnya dicekup polis ketika cuba membuat ‘penghantaran’ pada Khamis lalu.

Suspek yang bergerak sendirian itu dikatakan mendapatkan bekalan dadah jenis ganja dari Thailand menerusi jalan tikus di sempadan Kelantan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah berkata, hasil tangkapan itu, pihaknya menemui lebih 39 kilogram ketulan ganja mampat yang disorokkan di rumahnya di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Katanya, ketika ditahan pada 3.45 petang, suspek yang menunggang motosikal sedang membawa 30 ketulan kecil ganja dalam bakul motosikal untuk diedarkan kepada penagih sekitar Lembah Klang.

“Anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi kemudian membuat pemeriksaan di rumah suspek, sebelum menemui 38 ketulan ganja dengan setiap satunya seberat satu kilogram.

“Siasatan lanjut mendapati suspek aktif mengedar dadah sejak 1990 dan pernah ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak Penjara Simpang Renggam, Johor selama dua tahun pada 1999 mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985," katanya dalam sidang media yang diadakan di Bilik Media IPD Dang Wangi, tengah hari ini.

Menurutnya, kesemua lebih 39 kilogram ketulan ganja yang dirampas dianggarkan bernilai RM70,600 dipercayai untuk bekalan kepada 10,000 penagih sekitar Lembah Klang.

Katanya, ketulan ganja bersaiz kecil itu dijual pada harga RM50 seketul, manakala ketulan ganja seberat satu kilogram pula dijual pada harga antara RM1,400 hingga RM1,800 berdasarkan permintaan.

“Dengan tertangkapnya lelaki ini, kita berjaya menumpaskan salah satu rangkaian sindiket pengedaran dadah di ibu negara dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Disiarkan pada: March 13, 2018 @ 3:20pm
d