mutakhir

[UPDATE] Pemburu bunuh 20 gajah

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

SEKURANG-KURANGNYA 20 ekor gajah di hutan sekitar Gerik dipercayai sudah dibunuh sindiket pemburu haram profesional didalangi empat lelaki berusia 40 hingga 49 tahun, sejak sembilan tahun lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, empat lelaki itu ditahan dalam satu operasi dijalankan polis bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bermula Sabtu lalu sehingga semalam.

Katanya, sindiket dipercayai menjalankan kegiatan memburu dan menjual hasil hidupan liar seperti gading gajah, harimau dan rusa itu ditahan Ahad lalu selepas pihaknya bersama PERHILITAN menjalankan operasi dinamakan Ops Gading.

Menurutnya, keempat-empat lelaki itu ditahan berasingan di beberapa lokasi di Gerik dan hasil penahanan itu berjaya menemui bangkai seekor gajah yang dibunuh kumpulan itu di Hutan Piah, Gerik dan gadingnya dipercayai sudah diambil untuk dijual.

"Kumpulan ini dipercayai sudah memperoleh hasil cukup lumayan sepanjang sembilan tahun menjalankan kegiatan pemburuan haram ini dan sehingga kini anggaran hasil diperoleh mereka mencecah RM800,000.

"Hasil penahanan keempat-empat suspek, polis merampas dua senapang patah buatan sendiri, satu senapang Colt 5.56, satu Rifle .458, lima laras barel buatan sendiri, 255 peluru pelbagai jenis, dua kelopak peluru M16 dan pelbagai jenis senjata tajam dipercayai digunakan untuk kegiatan mereka," katanya pada sidang media khas selepas mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah PERHILITAN Datuk Abdul Kadir Hashim.

Zulkifli berkata, selain merampas peralatan digunakan untuk kegiatan berburu, polis berjaya menemui hasil buruan sindiket itu iaitu satu tanduk rusa dan tujuh tulang hidupan liar dipercayai tulang harimau serta wang tunai berjumlah RM10,500.

"Wang tunai itu dipercayai hasil jualan gading daripada bangkai gajah yang ditemui dan hasil soal siasat terhadap keempat-empat suspek, mereka mengaku baru sahaja menjual gading berkenaan kepada orang tengah di sempadan negara dengan harga RM12,000.

"Polis akan menjalankan siasatan terperinci dan bekerjasama dengan polis Thailand bagi mengenalpasti sindiket bekerjasama dengan semua suspek dan yakin akan berjaya menjejaki suspek lain yang terbabit," katanya.

Zulkifli berkata, semua suspek direman sehingga 18 Mac ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971, Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6 Akta Bahan Letupan, Kakisan dan Senjata Merbahaya 1958.

Sementara itu, Abdul Kadir berkata, gajah yang ditemui mati dibunuh itu dianggar berusia 30 tahun dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan luka tembakan pada bahagian kepala dan punggung.

Katanya, harga pasaran gading gajah adalah sekitar RM2,000 sekilogram dan berdasarkan statistik tiga tahun lalu mendapati jumlah gajah di seluruh semenanjung adalah sebanyak 1,200 hingga 1,500 ekor.

Berita berkaitan

'Empat lelaki ditahan, senapang dirampas'

Disiarkan pada: March 13, 2018 @ 6:12pm
d