mutakhir

Diikat, dibelasah suami

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

TERDESAK inginkan wang menyebabkan lelaki tergamak mengikat tangan, kaki dan mulut isterinya sebelum membelasah wanita itu di rumah mereka di Taman Perindustrian Kristal, Mukim Pumpung di Alor Setar, Khamis lalu.

Dalam kejadian 2 pagi itu, lelaki berusia 37 tahun itu turut merampas wang tunai RM4,000 dan barangan kemas seberat 45 gram dianggarkan RM9,000 sebelum melarikan diri.

Menceritakan semula kejadian itu, mangsa, Anwara Abdul Hashim, 28, berkata, dia berkahwin dengan suaminya yang juga etnik Rohingya sejak empat tahun lalu namun tidak menyangka lelaki itu tergamak memperlakukan dia sedemikian rupa.

Menurutnya, suaminya sanggup berpakat dengan adiknya dan rakan untuk melakukan perbuatan itu.

“Mereka mengikat tangan dan kaki dengan tali manakala mulut dengan kain sebelum suami terus memukul kepala dan badan saya.

“Dia memberitahu ingin wang segera kerana mahu pulang ke Bangladesh dan terus mengambil wang tunai milik adik dan bapa saudara yang disimpan oleh saya,” katanya di Alor Setar, hari ini.

Anwara berkata, tidak cukup dengan itu barangan kemas miliknya turut dibawa lari suaminya yang sehingga kini gagal dikesan.

“Selepas mendapat wang dan barangan kemas itu, mereka terus melarikan diri meninggalkan saya.

“Saya bernasib baik apabila berjaya membuka ikatan itu sebelum tampil membuat laporan di Balai Polis Kota Setar untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Suri rumah itu berkata, akibat kejadian itu juga dia mengalami kecederaan di leher, tangan dan kaki.

“Saya kini buntu memikirkan masa depan kerana tidak bekerja dan berharap dia dapat ditemui pihak polis dan barangan kemas itu diperoleh semula.

“Setakat ini saya difahamkan dia sudah melarikan diri ke Ampang, Selangor dan bimbang jika dia pulang terus ke Bangladesh menyebabkan barangan saya lebur,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Yazri Ismail ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan suspek kini sedang dikesan.

“Kita sedang mengesan suspek yang melarikan diri dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: March 13, 2018 @ 7:35pm
d