mutakhir

Cubaan seludup sarang burung walet gagal

Oleh Iskandar Shah Mohamed

CUBAAN dua sahabat memasarkan puluhan kilogram (kg) sarang burung walet seludup bernilai lebih setengah juta ringgit gagal apabila ditahan berhampiran Terminal Feri ASA Niaga di Pelabuhan Klang, semalam.

Dalam kejadian 9.30 malam, kedua-dua lelaki berusia 21 dan 44 tahun itu dipercayai menaiki sebuah van membawa tujuh kotak berisi sarang berkenaan sebelum ditahan Pasukan Polis Marin (PPM).

Difahamkan, semua bahan seludup itu baru tiba dari Indonesia dan mahu dijual sekitar Lembah Klang.

Tindakan licik mereka bagaimanapun berjaya dihidu sepasukan anggota PPM yang menjalankan operasi ‘Op Landai’ di sekitar kawasan berkenaan.

Timbalan Komander PPM Wilayah Satu Superintendan Dimin Awang berkata, van terbabit yang sedang menuju ke pelabuhan itu ditahan berdasarkan hasil maklumat awam.

“Hasil pemeriksaan menemui tujuh kotak berisi sarang burung walet seberat 82 kg yang disyaki diseludup masuk dari negara jiran.

“Suspek turut gagal menunjukkan dokumen sah berkaitan sarang yang dibawa itu. Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM530,000,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, dua suspek bersama van dan barang rampasan itu dibawa ke Pengkalan PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta 728 Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) 2011 kerana mengimport makanan akuakultur ke negara ini tanpa permit sah.

Disiarkan pada: March 13, 2018 @ 7:55pm
d