mutakhir

[UPDATE] Konstabel tertembak diri sudah sedar

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

KEADAAN konstabel polis yang tertembak diri sendiri ketika bertugas di Pos Pengawal Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah di Seri Iskandar, semalam kini dilaporkan semakin stabil.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, mangsa berusia 24 tahun yang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh sudah sedar dan mula menggerakkan kedua-dua belah tangannya.

Katanya, pihaknya sedang menunggu laporan penuh daripada doktor mengenai keadaan kesihatannya sebelum bercadang untuk memindahkannya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Ahli keluarga bercadang untuk memindahkannya ke HKL memandangkan hospital berkenaan lebih dekat dengan kampungnya di Melaka.

"Namun, apa pun kami masih menunggu laporan penuh doktor sama ada dia boleh dipindahkan atau tidak," katanya ketika ditemui di HRPB.

NSTP semalam melaporkan mangsa parah selepas dipercayai tertembak diri sendiri ketika bertugas di pos pengawal IPD berkenan.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, mangsa yang baru mahu memulakan tugas di pos pengawal IPD berkenaan parah di bahagian dada kiri selepas tertembak diri sendiri dengan senjata api jenis MP5.

Berita berkaitan

'Anggota polis parah tertembak diri sendiri'

Disiarkan pada: March 14, 2018 @ 2:02pm
d