mutakhir

11 April ini

Oleh Sarah Zulkifli

MAHKAMAH Majistret Petaling Jaya, hari ini menetapkan 11 April depan untuk sebutan semula kes pelakon Sofi Jikan atas pertuduhan menggunakan dadah jenis THC yang terdapat pada ganja, Februari lalu.

Majistret Nurulhuda Zakariya menetapkan tarikh itu terhadap Sofi Jikan atau nama sebenarnya Mohamad Shoffi Jikan, 48, dalam prosiding sebutan semula kes yang dihadapinya.

Dalam prosiding sama, dokumen berhubung kes itu diserahkan oleh pihak pendakwaan kepada peguam mewakili pelakon itu, Datuk Haniff Hassan.

Pada 13 Februari lalu, Sofi didakwa menggunakan dadah jenis 11-nor-delta-9-tetrahydro cannabinol-9-carboxylic acid atau THC di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada 11.15 malam, 6 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, pelakon itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Natasha Chin Le Jy.

Sebelum ini, pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil membuat laporan polis mendakwa tiga rakan artis memasukkan bahan terlarang ke dalam minumannya sehingga mendorong dia bertindak ganas di sebuah balai polis, Januari lalu.

Dia turut mendakwa diberikan rokok yang disapu dengan minyak dipercayai daripada bahan dadah.

Pendedahan itu membawa kepada penahanan Sofi yang didapati positif dadah ketika memberi keterangan berhubung kes itu di Balai Polis Mutiara Damansara, 6 Febuari lalu.

Disiarkan pada: March 14, 2018 @ 2:45pm
d