mutakhir

Dapur ternak tikus, lipas

Oleh Herizal Amriz Hismat Alang dan Siti Salmiah A Hamid

Kuala Lumpur: Najis tikus dan puluhan lipas antara yang ditemui berhampiran dapur memasak sebuah restoran, di sini, semalam.

Pemandangan kotor dan jijik itu dikesan ketika Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (JKAS) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan pemantauan kesihatan ke atas premis dan penjaja makanan di Medan Tuanku, Kuala Lumpur.

Operasi Sepadu Bersih 2018 itu membabitkan empat premis iaitu tiga restoran dan satu kedai serbaneka.

Ahli Lembaga Penasihat DBKL Datuk S Rajah berkata, satu daripada restoran berkenaan didapati mematuhi spesifikasi, manakala dua daripadanya tidak menitik beratkan peraturan kebersihan makanan dan sanitasi permis.

“Kita biasa dengar orang membela sekandang lembu atau kambing, tetapi di sini mereka membela ‘sekandang’ lipas seperti yang ditemui di bahagian memasak dan membasuh.

“Premis berkenaan juga tidak memasang perangkap minyak sebagaimana yang diwajibkan oleh JKAS DBKL, ia antara kesalahan yang banyak dilakukan operator restoran.

“Mereka diberi notis penutupan berkuatkuasa esok 15 Mac 2018, dan pemeriksaan susulan akan dilakukan oleh pegawai bertugas sehingga mereka bersedia mematuhi garis panduan kebersihan premis,” katanya selepas melakukan pemantauan kebersihan ke atas premis dan penjaja makanan, di sini, semalam.

Beliau berkata, operasi itu bukan untuk menyukarkan pengusaha restoran, tetapi ingin memberi kesedaran supaya mereka tidak mementingkan keuntungan semata-mata, tetapi pada masa sama, menitikberatkan aspek kebersihan demi kesihatan dan kesejahteraan pelanggan.

Antara kesalahan yang dilakukan pengusaha termasuklah kawasan tandas kotor, peralatan racun serangga diletakkan bersebelahan makanan, peti sejuk tidak berfungsi dengan baik dan barangan basah tidak disimpan di dalam bekas kedap udara.

Sementara itu, Pengarah JKAS DBKL Datin Dr Noor Akma Shabuddin berkata, 18 pegawai dan kakitangan digerakkan serentak untuk menjalankan operasi penguatkuasaan di 11 Parlimen dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Sehingga Februari 2018, 136 kompaun dikeluarkan berbanding 111 kompaun pada Januari lalu.

“Selain itu, 70 premis diberi notis penutupan pada Februari lalu berbanding 123 premis pada Januari tahun ini,” katanya.

Disiarkan pada: March 15, 2018 @ 8:46am
d