mutakhir

Ada calon tanding dua kerusi

Oleh HM Digital

Ipoh: Barisan Nasional (BN) Perak tidak menolak kemungkinan ada antara calonnya bertanding di dua kerusi iaitu Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, BN negeri sudah menyerahkan senarai calon yang akan mewakili komponen itu di kerusi Parlimen dan DUN kepada Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak.

“Senarai sudah diserahkan dan kita menanti saat akhir pengumuman pembubaran Parlimen yang akan dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di pejabatnya di sini, semalam.

Mengulas lanjut kemungkinan calon BN bertanding di dua kerusi di negeri, Menteri Besar Perak itu berkata, pihaknya membuat penilaian terbaik dalam mengemukakan senarai calon dan menempatkan calon di kawasan atau kerusi yang sesuai dengan kemampuan mereka untuk menang.

“Soal bertanding di satu atau dua kerusi ia bukan sesuatu yang asing dalam BN, apatah lagi dalam konteks pembangkang kerana mereka lebih banyak (bertanding dua kerusi) dan di Perak pun ramai pembangkang yang bertanding di dua kawasan.

“Demikian juga kalau diambil kira di peringkat kebangsaan, (Menteri Besar Selangor), Datuk Seri Azmin Ali dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (bertanding dua kerusi) dan dalam konteks BN, kita lihat Datuk Seri Mustapa Mohamed dan beberapa pemimpin Sabah dan Sarawak juga ada bertanding dua kerusi,” katanya.

Disiarkan pada: March 15, 2018 @ 8:51am
d