mutakhir

Perlu RM50,000

Oleh Asmah Rusman & Farah Diana Baharudin

Kuala Lumpur: Seorang bayi perempuan berusia empat bulan memerlukan bantuan RM50,000 daripada orang ramai bagi menampung kos pembedahan jantung berlubang yang dihidapinya sejak lahir.

Bayi berkenaan, Tang Luo Han perlu menjalani pembedahan dalam tempoh terdekat di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, di sini, selepas keadaan kesihatannya semakin merosot sejak dua bulan lalu.

Bapanya, Tang Kai Uie, 38, berkata, dia dan isteri hanya mengetahui anak keduanya itu mempunyai masalah jantung berlubang selepas menyedari pernafasan bayi itu tidak normal dan kerap menangis sehingga tubuh badannya bertukar kebiruan.

Dia kemudian membawa anaknya mendapatkan pemeriksaan rapi di hospital berkenaan sebelum doktor mengesahkan terdapat tiga lubang pada jantung anaknya yang menyukarkan pernafasan.

“Doktor pakar mengesahkan ada tiga lubang pada jantung dan saluran jantung yang membekalkan oksigen, sebab itu anak saya cepat letih dan kerap menangis kerana tidak selesa.

“Pembedahan perlu dilakukan segera kerana keadaan kesihatannya semakin merosot selepas dia enggan minum susu dan menyebabkan berat badannya turun mendadak.

“Bagaimanapun, saya buntu apabila memikirkan kos pembedahan yang tinggi, apatah lagi sebagai peniaga kecil-kecilan saya tidak mempunyai pendapatan tetap manakala isteri pula tidak bekerja,” katanya.

Tang berkata, doktor memberitahu pembedahan itu sangat penting bagi menyelamatkan nyawa anaknya selain membantu bayi berkenaan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal lain.

“Doktor sudah menjelaskan kepada kami kesan jangka panjang sekiranya pembedahan itu tidak dilakukan antaranya anak kami mudah demam dan dijangkiti kuman serta boleh menyebabkan dia koma,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu Tang Luo Han boleh menghulurkan sumbangan ke MEDIA PRIMA-NSTP HUMANITARIAN FUND di akaun Maybank, 514105323170.

Cek boleh dihantar ke Bahagian Kumpulan Komunikasi Korporat, Media Prima Berhad, Tingkat 1, Anjung Riong, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atas nama pesakit berkenaan.

Disiarkan pada: March 15, 2018 @ 10:23am
d