mutakhir

Pemandu treler lari lepas rempuh dua maut

Oleh Teoh Pei Ying

DUA pekerja kontrak mengecat maut selepas dilanggar treler di hadapan pusat beli-belah Main Place, USJ, Subang Jaya, awal pagi hari ini.

Mangsa, Ying Hing Kai, 46, dan seorang warga Indonesia yang hanya dikenali sebagai Sapiudin disahkan maut dalam kemalangan di Kilometer 0.6 Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), jam 2.50 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Superintendan Choo Lily berkata, kedua-dua mangsa maut akibat cedera parah di kepala.

“Pemandu treler itu melarikan diri sebaik melanggar mangsa. Kenderaan itu tidak ditemui berhampiran lokasi kejadian.

“Polis masih mengesan pemandu treler berkenaan bagi membantu siasatan,” katanya.

Choo berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu dalam keadaan cuai.

Disiarkan pada: March 15, 2018 @ 11:08am
d