mutakhir

Drebar rentung bersama lori

Oleh Amin Ridzuan Ishak

PEMANDU lori rentung apabila kenderaan dipandunya itu terbakar selepas bertembung dengan lori lain di Kilometer 323 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu, dekat Raub, hari ini.

Dalam kejadian 1.50 pagi itu, Mohd Mazli Salleh, 45, dari Rumah Pangsa Sri Ros, Bukit Sentosa, Selangor ditemui rentung dan tersepit dalam lori dipandunya yang membawa muatan bahan bacaan seperti majalah dan buku.

Pemandu sebuah lagi lori, Mohd Zahid Zakaria, 34, dari Kuala Krai, Kelantan patah kedua-dua belah paha manakala kelindannya, Mohd Aman Rafli, 18, tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kemalangan berlaku apabila tayar lori dipandu Mohd Mazli yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bahru pecah dan terbabas ke laluan bertentangan.

"Ia kemudian bertembung dengan lori dipandu Mohd Zahid menyebabkan kedua-dua lori itu terbakar manakala mangsa yang meninggal dunia didapati tersepit dalam lori dan rentung.

“Mayat Mohd Mazli dibawa ke Hospital Raub untuk bedah siasat manakala Mohd Zahid dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis untuk diberikan rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul, berkata tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub dikejarkan ke lokasi kejadian selepas mendapat maklumat kejadian.

"Anggota kami memadamkan kebakaran bagi mengelakkan kejadian lebih buruk dan berjaya mengawal kebakaran tidak lama selepas itu," katanya.

Disiarkan pada: March 15, 2018 @ 12:00pm
d