mutakhir

Tiada suntikan imunisasi rupanya...

Oleh Kandau Sidi

KANAK-kanak lelaki berusia dua tahun yang meninggal dunia akibat penyakit difteria tetapi didakwa dijangkiti virus 'misteri' di Hospital Miri, Rabu lalu, tidak mendapat sebarang suntikan imunisasi.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kanak-kanak itu tidak mendapat suntikan imunisasi difteria sejak lahir atas permintaan keluarganya.

Beliau berkata, kanak-kanak itu mula mengalami gejala demam, batuk, selsema dan kesukaran bernafas tujuh hari sebelumnya.

"Hasil siasatan KKM mendapati kanak-kanak itu tidak diberikan suntikan imunisasi disebabkan faktor keagamaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor berkata, sepanjang tahun lalu sebanyak 32 kes positif difteria dilaporkan di seluruh Malaysia, membabitkan tujuh kematian.

Beliau berkata, kebanyakan kes kematian membabitkan kanak-kanak yang mengidap difteria membabitkan komuniti yang menolak suntikan imunisasi.

Katanya, pemberian suntikan itu diberikan terhadap kanak-kanak berusia antara dua hingga lima tahun untuk mencegah serangan penyakit berkenaan.

"Sekiranya kanak-kanak tidak diberikan imunisasi difteria, mereka boleh dijangkiti bakteria Corynebacterium diphtheria yang disebarkan melalui titisan cecair pernafasan dan menjangkiti tekak.

"Bakteria ini akan menghasilkan toksin yang menyebabkan keradangan di sekitar tekak dan bengkak leher yang boleh menyebabkan kanak-kanak ini sukar bernafas," katanya.

Beliau berkata, toksin itu boleh menyerap ke dalam darah, melumpuhkan saraf dan menyebabkan keradangan jantung.

Katanya, jangkitan difteria mempunyai kadar kematian yang sangat tinggi.

Justeru, katanya, pemberian imunisasi difteria yang lengkap mampu mencegah jangkitan ini dan jika dijangkiti, gejala adalah ringan dan tiada komplikasi.

"Oleh itu, ibu bapa dan masyarakat diminta memastikan anak-anak di bawah umur tujuh tahun diberikan imunisasi yang lengkap.

"Sekiranya terlepas tarikh, atau belum mendapat pelalian yang lengkap, segeralah ke klinik kesihatan terdekat untuk mendapatkan imunisasi," katanya.

Beliau berkata, kementerian mengingatkan sekiranya terdapat tanda dan gejala seperti demam, sakit tekak dan kesukaran menelan, atau bengkak leher pada anak mereka perlu segera berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan.

Disiarkan pada: March 16, 2018 @ 10:52am
d