mutakhir

Menyorok pun kena cekup juga...

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

LELAKI bertindak menyembunyikan diri beberapa jam di atas papan tanda sebuah premis sebaik membunuh wanita di dalam bilik hotel di Pekan Kajang, semalam.

Bagaimanapun, tindakan lelaki warga asing berkenaan berjaya dikesan pihak polis yang menahannya pada 2.30 pagi tadi ketika menyembunyikan diri di lokasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memaklumkan penemuan mayat wanita dalam keadaan terlentang di dalam bilik hotel terbabit pada 10.55 malam tadi.

"Sebaik menerima laporan itu, sepasukan anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian dan mendapati mayat wanita terbabit berlumuran darah.

"Siasatan awal mendapati terdapat kesan luka tikaman di perut, dada dan tangan kanan mangsa. Kami turut menemui pisau pemotong sayur yang dipercayai senjata digunakan dalam kejadian itu," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang dokumen perjalanan diri pada wanita warga asing terbabit yang sudah menginap di hotel berkenaan sejak Selasa lalu.

"Ketika pemeriksaan dilakukan, anggota polis berjaya menjejak kesan darah pada bahagian luar tingkap bangunan hotel itu sebelum menemui suspek sedang bersembunyi di atas papan tanda terletak kira-kira 70 meter daripada tingkap bilik hotel terbabit.

"Melalui bantuan pihak bomba, kami berjaya membawa turun daripada tempat persembunyiannya. Dengan tangkapan ini, kami berjaya menyelesaikan kes berkenaan dalam tempoh kurang empat jam selepas menerima laporan," katanya.

Katanya, suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Pada masa yang sama, kami juga akan menyemak status kewarganegaraan suspek yang dipercayai warga Myanmar dengan merujuk dengan Jabatan Imigresen," katanya.

Disiarkan pada: March 16, 2018 @ 2:18pm
d