mutakhir

Rebah di tengah gelanggang futsal

Amirul Aiman Hamsuddin

“TIDAK sampai 10 minit bermain futsal, saya melihat arwah (Muhammad Adli) rebah di tengah gelanggang sebelum mengalami sesak nafas.

"Saya jangkakan dengan membawa dia ke hospital, segalanya akan selamat. Namun, doktor mengesahkan arwah sudah tidak bernyawa. Ketika itu, dunia terasa gelap seketika," kata Muhd Aizal Ros Azelan, 18.

Muhd Aizal adalah rakan kepada Muhammad Adli Jalaludin, 18, yang meninggal dunia di gelanggang futsal di Sungai Besar, 5.40 petang semalam.

Muhd Aizal berkata, dia dan Allahyarham bersama rakan lain sempat meraikan kejayaan sempena keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Agama Menengah Tengku Ampuan Jemaah (SAMTAJ).

“Pagi sebelum kejadian, saya lihat arwah sangat periang. Malah, dia sempat mengusik rakan lain ketika mengambil keputusan peperiksaan.

"Malah, dia bersyukur meskipun memperoleh keputusan sederhana cemerlang dan tidak lupa berkongsi berita gembira itu dengan semua rakannya," katanya.

Sementara itu, seorang lagi rakan arwah, Muhammad Azib Azman, 18, berkata, Allahyarham Muhammad Adli disifatkan sebagai seorang yang lemah lembut selain tidak lokek membantu rakan sekolah.

"Sepanjang hayatnya, arwah tidak pernah menyakitkan hati kami. Tambahan lagi, dia sering membantu rakan membuat latih tubi dalam mata pelajaran Matematik.

"Lebih mengharukan, arwah berhasrat menyambung pelajaran di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Namun, impian itu tidak tercapai apabila dia pergi buat selamanya," katanya.

Muhammad Azib berkata, Allahyarham turut berhajat membelanja rakan bermain alat permainan video PlayStation (PS) 4 di kedai permainan di sekitar pekan Sungai Besar.

“Sepatutnya, Sabtu ini, kami bersama arwah bermain PS4 di kedai itu. Arwah sangat teruja apabila kami setuju dengan hasratnya. Tetapi, Allah lebih menyayanginya dan kami reda dengan apa yang terjadi," katanya.

Terdahulu, jenazah Muhammad Adli disembahyangkan di Masjid Badlishah Parit Enam, 10 pagi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Lima, Sungai Panjang, hari ini.

Disiarkan pada: March 16, 2018 @ 3:45pm
d