mutakhir

Dulu rosakkan ekonomi negara, sekarang pimpin PH

Oleh Fitri Nizam

KERAJAAN Barisan Nasional (BN) hari ini terpaksa memikul beban masalah ekonomi negara yang dilakukan oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) ketika memerintah negara sejak tahun 80-an, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Tanpa menamakan mana-mana pemimpin dalam PH itu, beliau berkata, masalah ekonomi yang ditanggung kerajaan dan rakyat pada hari ini berpunca daripada salah tadbir urus pemimpin terdahulu yang kini memimpin pakatan pembangkang itu.

"Masalah ekonomi dihadapi negara sama ada kerajaan atau rakyat adalah peninggalan daripada pemimpin yang duduk dalam PH hari ini, yang memerintah negara sejak tahun 80-an.

"Merekalah mewujudkan masalah. Bahkan pada pendapat saya UMNO yang memikul masalah dibuat oleh mereka ini dahulu," kata Ahli Parlimen Marang itu di dalam wawancara bertajuk Solusi Sejahtera GST: Presiden PAS Jawab Tuduhan Presiden PPBM bersama Ketua Penerangan Pemuda PAS, Hishamuddin Abdul Karim.

Wawancara itu disiarkan secara langsung di laman sosial Facebook milik Abdul Hadi malam tadi.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga pemimpin tertinggi PH hari ini adalah Perdana Menteri Malaysia sejak 1982.

Justeru itu, Abdul Hadi berkata, melihatkan senario itu, PAS memperkenalkan konsep taawun iaitu tolong menolong dalam perkara baik dan membelakangkan perkara mungkar.

"PAS mengemukakan penyelesaian kepada kerajaan bukan kerana kita tamakkan kuasa, bahkan kita terbuka sekiranya kerajaan menerima pandangan kita. Kalau kita jadi kerajaan, kita boleh praktikkan.

"Kalau kita tidak jadi kerajaan, kita boleh menjadi penasihat kepada kerajaan supaya membuat pembetulan dari kesilapan dilakukan pemimpin yang ada dalam PH hari ini," katanya.

Disiarkan pada: March 16, 2018 @ 7:43pm
d