mutakhir

PRU-14: DAP susah hati pertahan PP

Oleh M Hifzuddin Ikhsan

“KITA tidak pandang rendah kemampuan mereka,” kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng, ketika mengulas kemungkinan berlaku angin perubahan dan kemampuan Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang.

Kata-kata itu jelas menunjukkan Pakatan Harapan (PH) sendiri tidak yakin sepenuhnya mampu mempertahankan negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan masih berharap sokongan tegar penyokongnya.

Secara terbuka, Setiausaha Agung DAP itu juga meminta ahli dan jentera parti terutamanya dari DAP bekerja keras sebaik gelanggang pilihan raya kali ini dibuka tidak lama lagi.

"Kita kena kerja keras untuk pastikan Pulau Pinang kekal di bawah pemerintahan rakyat dan bukan dimenangi BN.

"Kita akan buat persiapan rapi dan harap BN juga membuat persiapan baik dan berlawan secara bersih," katanya ketika mengulas keyakinan BN melakukan perubahan di Pulau Pinang pada PRU-14, baru-baru ini.

Bagaimanapun nada berbeza diberi sekutu parti itu, apabila Pengerusi PKR negeri, Datuk Dr Mansor Othman yang menyatakan keyakinan untuk PH sekali lagi mempertahankan Pulau Pinang.

"Selain mengekalkan kerusi sedia ada, kita juga yakin menambah beberapa lagi kerusi terutamanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Air Tawar, Pulau Betong dan Sungai Acheh.

"Pada masa sama, kita pastinya mahu Parlimen Permatang Pauh yang dijangka ditandingi Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail terus kekal, walaupun sedar BN sangat mengidamkan kerusi itu," katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff menegaskan, parti itu tidak akan berganjak dengan keputusan untuk bertanding semula di semua kerusi yang pernah ditandinginya sebelum 2008.

"Kita akan pertahan DUN Permatang Pasir, itu sudah pasti. Kita juga akan letak calon di kerusi lain yang dilihat memiliki potensi terutamanya di kerusi majoriti Melayu.

"Tumpuan kita adalah pengundi atas pagar yang kecewa dengan pentadbiran kerajaan negeri dan pada masa sama tidak memberi sokongan kepada BN," katanya yang turut memaklumkan senarai nama calon parti itu sudah siap, namun enggan mendedahkannya lagi.

Disiarkan pada: March 16, 2018 @ 9:29pm
d