mutakhir

UPM perkenal teknologi pantau tanaman guna dron

Oleh HM Digital

Jertih

Jertih: Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkenalkan pakej teknologi pengeluaran padi berpenghasilan tinggi menerusi pertanian menggunakan teknologi dron.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, ia membolehkan pemantauan udara terhadap tanaman itu.

“Ia berupaya mengesan kaedah penanaman padi dari mula penanaman sehingga ke tahap menghasilkan pengeluaran padi,” katanya selepas meninjau demonstrasi penggunaan dron di Kampung Gong Gucil, dekat sini, semalam.

Projek perintis dijalankan di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (IADA KETARA) Besut.

Ia membabitkan 200 petani dengan kawasan tanaman seluas 200 hektar.

Idris berkata, dron berupaya merakam imej kawasan seluas 140 sehingga 950 hektar dalam tempoh satu jam penerbangan, bergantung kepada keadaan cuaca dan ketinggian penerbangan.

Katanya, teknologi itu merakam imej kawasan tanah kosong dan tidak ditanam, berpunca daripada kesilapan menabur benih atau kesan laluan jentera pembajak.

“Selain itu, dron dapat digunakan untuk aktiviti membaja, menyembur racun melalui udara dan tidak perlu menggunakan tenaga manusia,” katanya.

Idris berkata, kejayaan teknologi diperkenalkan UPM itu akan diperluas
ke kawasan tanaman padi utama seluruh negara untuk meningkatkan hasil pengeluaran padi negara.

Disiarkan pada: March 17, 2018 @ 9:43am
d