mutakhir

Sedekah timun

Oleh Noor Azurin Mohd Sharif

Jasin: Atas rasa tanggungjawab dan memikirkan kebajikan haiwan, seorang usahawan muda di negeri ini sanggup menyalurkan sumbangan 7,000 timun untuk makanan haiwan di Zoo Melaka dan Safari Malam di sini.

Nurrsyazwani Sahkandar, 24, berkata, pemberian 2.5 tan sayuran itu secara tidak langsung membantu mengurangkan RM12,000 kos makanan yang diperlukan zoo.

Sumbangan itu, katanya, memberi peluang kepada dirinya melakukan ibadah bukan saja sesama manusia, tetapi juga kepada haiwan.

“Sudah setahun saya menjalankan projek tanaman timun ini dan Alhamdulillah hasilnya memuaskan dan tidak salah rasanya saya berkongsi rezeki.

“Ia (sumbangan) kali pertama saya menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) selepas projek tanaman timun ini berjaya.

“Sebelum ini, saya buat projek tanaman rock melon, tetapi tidak menjadi. Jika ada pihak yang memerlukan, saya tidak lokek berkongsi rezeki ini,” katanya usaha dilakukan itu diharap membuka mata petani lain zoo juga adalah saluran sesuai berkongsi rezeki biarpun kepada haiwan.

Beliau ditemui di ladang seluas satu hektar yang disewanya di Kampung Lanchang di sini, semalam.

Hadir sama, Pengurus Pemasaran dan Jualan Zoo Melaka dan Safari Malam, Ahmad Azizi Ramdan.

Sementara itu, Ahmad Azizi berkata, pihaknya berbesar hati menerima sumbangan timun kerana sayuran itu sememangnya menjadi satu daripada diet yang diberikan kepada haiwan di zoo.

“Kami dapati timun adalah makanan yang berkhasiat tinggi dan setiap minggu zoo akan membeli dalam satu tan sayuran berkenaan untuk makanan haiwan di sini (zoo).

“Apabila menerima peluang ini (sumbangan timun), kami sememangnya menanti. Bajet pembelian timun sebelum ini bolehlah disalurkan kepada yang lain,” katanya.

Malah, beliau berkata, melalui sumbangan itu secara tidak langsung menjimatkan zoo membeli makanan terbabit bagi tempoh dua bulan.

Disiarkan pada: March 17, 2018 @ 9:56am
d