mutakhir

Tumbuk ibu tunggal, ikat guna tudung

Oleh Amran Yahya

IBU tunggal bukan sahaja kerugian dianggarkan RM5,000, malah turut cedera selepas ditumbuk di kepala oleh penyamun di rumahnya di Kampung Juasseh Tengah, Kuala Pilah, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, Junaida Maarof, 51, dihampiri seorang lelaki ketika sedang mengunci pintu pagar rumah untuk ke Kuala Pilah bagi membeli barangan keperluan dapur.

Katanya, lelaki berusia 30-an itu terus merampas beg tangannya dan berlari ke belakang rumah menyebabkan dia mengejarnya untuk mengambil semula sehingga berlaku pergelutan.

“€œKetika bergelut, lelaki itu sempat meragut dua rantai leher dan gelang yang saya pakai, malah dia menumbuk kepala menyebabkan saya terjatuh.

“Lelaki itu kemudiannya mengikat kedua-dua tangan saya menggunakan tali ampaian dan mulut saya diikat menggunakan tudung yang dipakai sebelum melarikan diri bersama Proton Wira milik saya menghala ke Pelangai,” katanya.

Menurut Junaida, selepas berjaya membuka ikatan, dia terus berlari mendapatkan bantuan jiran dan seterusnya menghubungi polis.

Katanya, selain barang kemas, dia juga kehilangan wang tunai RM300, kad pengenalan, lesen memandu, kadbank, dua telefon pintar dan sebuah tab yang keseluruhannya dianggarkan RM5,000.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok berkata, Proton Wira yang dilarikan suspek ditemui kira-kira 20 minit kemudian di dalam semak kira-kira satu kilometer dari rumah mangsa.

Katanya, usaha mengenal pasti identiti suspek warga tempatan itu sedang giat dilakukan dan orang ramai yang menyedari kehadiran individu yang mencurigakan di sekitar lokasi kejadian supaya tampil menyalurkan maklumat.

Haslah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: March 17, 2018 @ 1:00pm
d