mutakhir

[UPDATE] Kebakaran HKL: Dua wanita diselamatkan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin dan Nur Afiradina Arshad

DUA wanita diselamatkan pihak bomba dalam kejadian kebakaran di stor Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khiruddin Drahman berkata, kedua-dua mangsa yang juga juruteknologi makmal dan pekerja am berusia lingkungan 40-an itu dikatakan terperangkap di stor berkenaan.

“Kedua-dua mangsa kemudian melarikan diri ke tingkat atas sebelum anggota bomba bertugas memotong pagar gerigi bagi menyelamatkan mereka.

“Mereka dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika ditemui pada sidang media di lokasi kejadian di Kuala Lumpur,hari ini.

Khiruddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.20 tengah hari.

“Seramai lapan pegawai dan 31 anggota bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chow Kit, BPP Hang Tuah, BPP Setapak dan BPP Jalan Tun Razak dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Kami berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya pada 1.32 petang iaitu kira-kira satu jam selepas jentera pertama tiba di lokasi kejadian,”katanya.

Beliau berkata, kebakaran itu dipercayai berpunca akibat litar pintas.

“Siasatan awal mendapati kebakaran itu dipercayai berpunca daripada litar pintas memandangkan tiada barangan mudah terbakar di dalam stor terbabit.

“Kebakaran itu menyebabkan stor berkenaan musnah sepenuhnya, manakala bangunan berhampiran mengalami kerosakan kecil,”katanya.

Berita berkaitan:

Operasi HKL tidak terganggu

IPFN Hospital Kuala Lumpur terbakar

Disiarkan pada: March 17, 2018 @ 4:11pm
d