mutakhir

Kalau belum ajal

Oleh Mohd Rizal Abdullah

BERPANTANG maut sebelum ajal. Itu yang berlaku pada lelaki warga Indonesia yang terselamat selepas terjun dari tingkat tiga bangunan kedai sebelum menghempap bonet kereta di Pusat Komersial Waterfront, Miri, malam tadi.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, lelaki berusia 30-an itu dikatakan terjun dari tingkap bilik sewanya dipercayai akibat tekanan perasaan.

Menurut sumber, biarpun dihalang orang awam, lelaki terbabit nekad terjun dari bangunan setinggi 30 meter itu dan menghempap bonet kereta sebelum tercampak ke jalan.

Sumber itu berkata, bagaimanapun, lelaki terbabit terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan di beberapa anggota badan.

“Terdapat kesan darah berhampiran lelaki terbabit jatuh malah terdapat kesan kemek di bonet kereta yang dihempap,” katanya.

Katanya, pasukan perubatan kemudiannya ke lokasi selepas menerima panggilan orang ramai berhubung kejadian itu.

“Lelaki terbabit sempat diberikan rawatan bagaimanapun dia bertindak melarikan diri selepas menyedari kehadiran orang ramai,” katanya.

Disiarkan pada: March 17, 2018 @ 4:28pm
d