mutakhir

Tunggu urusan dokumentasi

Oleh Rahayu Mohd Salleh

PROSES membawa pulang dua mangsa sindiket dadah antarabangsa, Noor Azimah Sapie, 37, dan Noor Suzana Azmi, 35, menghadapi kelewatan disebabkan urusan dokumentasi.

Bagaimanapun, mereka dijangka tiba ke tanah air pada minggu terakhir bulan ini meskipun jadual asal ketibaan mereka Januari lalu.

“Proses membawa pulang dua wanita ini mengambil masa kerana ia membabitkan urusan dua keluarga, berserta anak-anak dan suami di Peru, juga sesudah mereka berada di sini.

“Pada masa sama kita juga harus menghormati undang-undang pihak berkuasa kerajaan Peru,” kata Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BiKUM) Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, hari ini.

Beliau ditemui pada program UMNO Bantu Rakyat 2.0 dan Program Mesra Perbadanan Tabung Pendidikan

Tinggi Nasional (PTPTN) di Sungai Sumun, Bagan Datuk, Perak.

Majlis berkenaan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, segala urusan membawa pulang dua wanita terbabit dilaksanakan menerusi kerjasama secara diplomatik dengan pihak Wisma Putra.

Bagi Noor Azimah yang tiba di Peru kira-kira 10 tahun lalu malah pernah menjadi gelandangan di sana, kelewatan urusannya antara lain disebabkan nilai denda yang tidak boleh dimuktamadkan.

Denda berkenaan membabitkan kesalahan tinggal di negara berkenaan melebihi3,000 hari daripada had tempoh yangdibenarkan.

Pada masa sama, Noor Azimah yang mempunyai seorang anak perempuan perlu juga menyelesaikan hak penjagaan daripada suami untuk membawa anaknya ke Malaysia.

Dia akan pulang bersama anak perempuannya, Qistina Maisara Alarcon Sapie.

Noor Suzana juga harus menyelesaikan urusan hak penjagaan anaknya bersama bekas suami yang kini menjadi banduan penjara di sana.

Kepulangannya pula bersama suami keduanya warga Peru, Garlin Lever, dan dua anaknya, Muhammad Duler Akasyah dan Garlin Junior.

Menurut Shamsul, pihak BiKUM turut merancang untuk mengadakan kempen kesedaran mengenegahkan dua wanita terbabit menerusi sesi perkongsian pengalaman sekembali mereka ke tanah air kelak.

“Program sebegini bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya kumpulan sasar apatah lagi sindiket sedemikian kian berleluasa,” katanya.

Sementara itu, majlis berkenaan menyaksikan penyerahan sumbangan BiKUM membabitkan 3,000 kit bantuan makanan harian kepada penduduk setempat selain 1,000 kit bantuan untuk ibu tunggal dan pembukaan 1,000 akaun SSPN1M bernilai RM100 untuk setiap pelajar.

Disiarkan pada: March 17, 2018 @ 6:23pm
d