mutakhir

8 penyamun warga asing dicekup

Oleh Faliq Lajim

LIMA lelaki dan tiga wanita warga asing ditahan di Kuala Lumpur, bulan lalu selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti menyamun secara berkumpulan tanpa bersenjata di sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kumpulan itu dipercayai terbabit dalam kes samun berkumpulan di pusat beli belah di daerah ini pada 6 dan 13 Februari lalu.

“Kumpulan itu melakukan samun dalam lif dengan menjatuhkan duit syiling dan menunduk kononnya untuk mengutip lalu mencuri dompet seorang paderi berusia 54 tahun.

“Mereka turut melakukan samun dengan merempuh seorang mangsa ketika menuruni eskalator dan melarikan mata wang Yen berjumlah RM30,000,” katanya ditemui pada Program Hari Bertemu Pelanggan Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di Klang, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Rahmat Ariffin.

Shamsul Amar berkata, pihaknya menjalankan siasatan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pusat beli belah berkenaan.

“Pada 25 Februari lalu, sepasukan anggota polis dari IPD Serdang berjaya menahan empat lelaki dan tiga wanita warga Filipina di Hentian Bas Jalan Duta, Kuala Lumpur. Turut ditahan, seorang lelaki warga tempatan.

“Siasatan awal mendapati semua suspek terbabit dalam kejadian itu selain kes lain di Serdang dan Sentul,” katanya.

Disiarkan pada: March 17, 2018 @ 6:52pm
d