mutakhir

Hanyir RM8,700

Oleh Fardy Bungga

Kota Kinabalu: Hanyir, pelik atau mungkin menggelikan. Itu antara pandangan bagi kebiasaan orang apabila ditanya mengenai hidangan isi landak laut lebih-lebih lagi sekiranya dimakan mentah.

Namun pasti ramai yang terkejut apabila diberitahu, isi landak laut antara makanan dikategorikan sebagai hidangan eksotik bagi masyarakat di negara Amerika Syarikat dan benua Amerika, Eropah serta Jepun dan harganya mampu mencecah RM8,700 sekilogram.

Kenyataan itu pasti sangat berbeza dengan ‘layanan’ diberikan masyarakat negara ini yang biasanya hanya menganggap landak laut sebagai hidupan laut berbahaya disebabkan takut akan durinya.

Sifat landak laut yang aktif membiak sendiri di pesisir pantai tidak pernah diambil peduli oleh sesiapa saja, malah kawasan yang dipenuhi hidupan laut itu pasti akan dielakkan dari dikunjungi.

Malah, sekiranya hidupan laut itu ditemui, ia hanya dijadikan seperti ‘sampah’ apabila diangkat ke tepi laut, dipecahkan dan dibiarkan mereput.

Tinjauan wartawan menerusi laman web antarabangsa mendapati, landak laut atau lebih dikenali sebagai Sea Urchin banyak dijual di Eropah dan Jepun.

Bagi masyarakat Jepun, isi landak laut itu dijadikan hidangan ‘shasimi’ dan hanya mampu dimakan golongan berada di negara matahari terbit itu.

Malah lebih mengejutkan, isi landak laut jenis merah yang dikategorikan sebagai paling rendah grednya turut dinilaikan pada harga RM110 untuk hanya 150 gram.

Nilai landak laut itu dikatakan lebih tinggi apabila ia dihidangkan dalam keadaan ‘bernyawa’, menunjukkan kesegarannya.

Pelik tapi benar, masyarakat Jepun dan Eropah sudah menganggap landak laut sebagai emas di laut, tetapi di Malaysia hanya haiwan berbahaya dengan duri tajam.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan landak laut di kawasan perairan bukan saja dikhuatiri membahayakan keselamatan manusia, malah mengancam hidupan laut lain terutamanya terumbu karang.

Di Sabah khususnya Parlimen Sepanggar berhampiran Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), masyarakat Bajau Ubian menganggap hidupan laut ini sebagai sumber rezeki dengan menjadikanya makanan ataupun untuk dijual kepada penggemarnya.

Pada masa sama, TLDM melancarkan inisiatif membantu mengutip landak laut di sekitar Teluk Sepanggar menerusi Program Jiwa Murni Mega Dive yang dijadikan sebagai acara tahunan bagi mengelak aktiviti penduduk terganggu disebabkan kehadiran landak laut.

, selain bertujuan membersihkan kawasan dasar laut daripada masalah sampah.

 

Disiarkan pada: March 18, 2018 @ 7:27am
d