mutakhir

Maahad tahfiz rayu sumbangan bina asrama

Oleh Hamzah Osman

Langkawi:Maahad Tahfiz Al-Quran Dakwatul Hidayah (MTADH) di Kampung Sungai Kedak merayu orang ramai menghulurkan sumbangan ikhlas bagi membina sebuah asrama untuk kemudahan penginapan kepada 20 penghuninya.

Penyelaras Pembinaan Asrama MTADH, Amir Hashim Yot berkata, sumbangan itu diperlukan bagi membantu maahad berkenaan membina satu bangunan dua tingkat sebagai asrama pelajar lelaki yang lebih selesa.

“Kami berhasrat membangunkan bangunan bilik asrama di atas tanah wakaf dengan anggaran kos mencecah RM800,000 bersebelahan maahad ini yang beroperasi di sebuah surau.

“Ini kerana buat masa ini seramai 20 penghuni berusia antara sembilan dan 16 tahun hanya menumpang menginap dalam surau dengan kemudahan asas yang terhad,” katanya.

Beliau berkata, pada masa sama perbelanjaan makan minum pelajar terbabit yang terdiri daripada anak yatim, miskin dan golongan kurang berkemampuan hanya bergantung kepada sumbangan orang ramai.

Disiarkan pada: March 18, 2018 @ 7:33am
d