mutakhir

Hanyut ikut kepala air

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Ampang: Seorang lelaki berusia 23 tahun dikhuatiri lemas apabila dihanyutkan kepala air di Sungai Hulu Langat di sini, jam 5.30 petang kelmarin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ampang Timbalan Penguasa Bomba Ariff Mohamed Kassim berkata, pencarian di Sungai Hulu Langat disambung bermula jam 8 pagi semalam membabitkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan Unit Anjing Pengesan (K9) selepas operasi mencari dan menyelamat tidak menemui mangsa, kelmarin.

Katanya, operasi diperluas sehingga lingkungan lima kilometer dari jarak mangsa, Abd Syukur Abd Talib dilapor dihanyutkan arus jam 5.30 petang kelmarin.

“Operasi bermula sejak mangsa dilaporkan jatuh petang semalam (kelmarin) dan dihentikan malam tadi (kelmarin).

“Anggota turut melakukan pencarian di permukaan air di sekitar kawasan berhampiran,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Ariff berkata, operasi pencarian kini tertumpu di kawasan Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (SMART) Kampung Berembang di sini, kerana mempunyai perangkap sampah.

Disiarkan pada: March 18, 2018 @ 7:45am
d