mutakhir

Rumah rosak dihempap pokok

Oleh Safuri Kamarudin

Baling : “Selang beberapa minit kami sekeluarga keluar dari rumah, sebatang pokok tiba-tiba tumbang dan menghempap bumbung rumah,” kata mangsa ribut Mohamad Nasarudin Che Hassan, 37, dari Kampung Masjid Tiak, Kupang, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, dia bersama empat ahli keluarga lain terselamat selepas sempat keluar dari rumah yang mengalami kerosakan teruk di bumbung dan salah satu bilik tidur.

Mohamad Nasarudin ketika dihubungi berkata, kejadian berlaku terlalu pantas, namun dia mengikut gerak hatinya untuk keluar dari rumah apabila mendapati angin bertiup semakin kencang.

“Saya yang terkejut dengan kejadian itu terus menghubungi pihak JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) untuk meminta bantuan sebelum anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) datang membantu mengalihkan pokok itu,” katanya.

Kejadian ribut itu turut menyebabkan lebih 30 rumah di Mukim Pulai dan Kupang mengalami kerosakan akibat dihempap pokok.

Disiarkan pada: March 18, 2018 @ 7:52am
d