mutakhir

Tengah tidur, kena serbu pula...

Oleh Junaidi Ladjana

DUA puluh tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sedang nyenyak tidur di empat lokasi di sekitar Kota Kinabalu, terpinga-pinga apabila rumah kongsi mereka diserbu polis, awal pagi semalam.

Dalam serbuan bermula 1 pagi selama tujuh jam itu, semua PATI yang terdiri dari 21 lelaki dan enam wanita berusia 18 hingga 51 tahun gagal melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, Op Cegah Jenayah Bersepadu ini membabitkan tiga pegawai dan 62 anggota yang dilakukan di empat lokasi di sekitar bandar raya ini.

"Antara lokasi serbuan iaitu rumah kongsi di Pacific City, Likas, Pasar Besar dan Pasar Buah Kota Kinabalu, rumah setinggan berhampiran TLDM, Sepanggar dan rumah kongsi di KKIP Selatan, Manggatal.

"Hasilnya, memeriksa 56 orang dan pemeriksaan lanjut menahan 27 PATI iaitu 21 adalah warga Filipina dan selebihnya adalah warga Indonesia," katanya ketika dihubungi, hari ini.

M Chandra berkata, polis turut menahan seorang lelaki dewasa kerana positif dadah jenis syabu.

"Semua PATI yang ditahan didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Tambahnya, tumpuan lokasi operasi dijalankan adalah di lokasi yang mana kerap berlaku kegiatan jenayah di sekitar bandar raya ini.

Disiarkan pada: March 18, 2018 @ 11:16am
d