mutakhir

'Pergimu sebagai wira, anakku...'

Oleh Rosliza Mohamed

HASRAT pelajar tingkatan empat yang cuba menyelamatkan sepupunya berakhir dengan tragedi apabila dia lemas di muara Kuala Besar, Kota Bharu, pagi hari ini.

Mayat Afham Akif Che Mohd Razali, 16, pelajar Sekolah Menengah Mahaad Muhammadi Lelaki, ditemui penduduk kampung kira-kira 10 meter dari tempat dia lemas.

Ketika kejadian mangsa bersama dua adiknya berusia enam tahun dan 10 tahun serta dua sepupu dan tiga rakannya mandi di muara itu pada 9 pagi.

Bapa mangsa, Che Mohd Razali Zawawi, 47, berkata dia mengetahui kejadian itu selepas diberitahu penduduk kampung pada 10.30 pagi.

Katanya, sebelum kejadian mangsa cuba menyelamatkan sepupunya Mohd Jafri Hakim Mohd Rosli, 12, yang sedang mandi pada 9.30 pagi.

"Ketika itu Mohd Jafri tiba-tiba tenggelam dan pada masa sama Afham cuba menyelamatkannya walaupun tidak pandai berenang, tetapi gagal akibat pasir jerlus.

"Ketika itu rakannya Mohd Faisal Rosi, 16, yang hampir lemas berjaya menyelamatkan Mohd Jafri.

"Afham pula tidak kelihatan selepas tenggelam akibat pasir jerlus dan mayatnya ditemui penduduk kampung pada 11 pagi," katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Raja Perempuan ZainabII (HRPZ II), Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata, keluarga tidak mengetahui Afham yang juga anak sulung daripada lima beradik ke muara itu untuk mandi dengan menaiki sebuah kereta.

Katanya, turut menaiki kereta itu dua adik lelakinya, dua sepupu dan tiga rakan sekampung yang jaraknya kira-kira tiga kilometer dari rumah di Pulau Kundur.

"Apa pun keluarga reda dengan pemergiannya dan mungkin sampai masanya dia pergi meninggalkan ahli keluarga," katanya.

Che Mohd Razali yang juga Tok Penghulu Mukim Pulau Kundor, berkata jenazah anak sulungnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Kundur, malam ini.

Katanya, anak sulungnya tidak menunjukkan sebarang perubahan kecuali pagi tadi dia meluangkan masa berzikir selama 30 minit selepas solat Subuh, berbanding sebelum ini berzikir selepas solat Asar.

Disiarkan pada: March 18, 2018 @ 6:19pm
d