mutakhir

Perlu kos RM40,000 sebulan

Oleh Muhammad Shalaby Shahbuddin

PIHAK pengurusan Pusat Penjagaan Ceria (Happy Home) di Taman Desa Murni, Sungai Dua, Butterworth memerlukan RM40,000 setiap bulan bagi menampung kos perbelanjaan demi keselesaan 70 penghuni.

Rumah jagaan berkenaan diusahakan Saw Khuay Loke, 64, yang bertindak selaku pengetua sejak 1995 dan kini, ia diuruskan bersama anak perempuannya, Saw Sin Yee, 33.

Sin Yee berkata, pusat jagaan itu hanya bergantung kepada yuran penghuni, sumbangan individu dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menampung perbelanjaan bulanan termasuk pembayaran gaji pekerja, bil elektrik dan air serta pelbagai keperluan lain.

Beliau berkata, kebanyakan 70 penghuni di rumah jagaan itu terdiri daripada golongan warga emas uzur, orang kurang upaya (OKU), pesakit terlantar dan pesakit kanser berusia antara 25 hingga 100 tahun.

"Selain perlu membiayai kos makan minum, penginapan, perubatan dan minyak kenderaan untuk melakukan rawatan susulan di hospital berdekatan, beberapa keperluan lain terutama lampin pakai buang amat diperlukan penghuni.

"Malah, sewa rumah jagaan dua tingkat ini adalah RM5,000 sebulan dan paling membimbangkan keadaan bumbung di tingkat atas yang bocor sejak dua tahun lalu memerlukan kos hampir RM10,000 bagi tujuan pembaikian," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan replika cek RM2,000 daripada Eksekutif Pembantu Pengurus - Admin & Kewangan, Hotel The Light, Seberang Jaya, Fred Saw dalam aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) hotel berkenaan.

Fred berkata, program kunjungan itu membabitkan 20 warga kerja hotel berkenaan dan pihaknya dimaklumkan sejak rumah kebajikan itu ditubuhkan pada 23 tahun lalu, ia adalah kunjungan amal kali pertama daripada sebuah hotel bertaraf lima bintang, sekali gus semua penghuni dapat merasai bufet makanan bertaraf hotel yang enak dan lazat sempena Tahun Baru Cina tahun ini.

"Kami menjalankan tugas masing-masing dengan menyediakan meja makan bufet, dekorasi majlis sambutan hari jadi dan beramah-mesra serta menceriakan mereka.

"Selain dihidangkan dengan bufet hidangan istimewa seperti nasi briyani, ayam masak merah, kurma sayur dan telur, mi goreng ala Cina, tauhu masak teochew dan aneka pemanis mulut, kami turut meraikan sambutan hari jadi buat 11 penghuni yang meraikannya sepanjang Mac," katanya.

Disiarkan pada: March 18, 2018 @ 10:57pm
d