mutakhir

Kenangan minta peluk sebelum tidur

Oleh Amirul Aiman

“TIGA hari sebelum arwah (Alfirdaus) meninggal dunia, dia minta saya memeluknya sebelum tidur dan waktu itu, dia kelihatan sangat manja.

"Malah, menjadi rutin saya memandikannya setiap hari sehinggalah hari kejadian (semalam). Saat itu, saya merasa akan berlaku perkara buruk kepada arwah dan ia menjadi kenyataan," kata peniaga Mokhtarudin Yashak, 53.

Mokhtarudin adalah bapa kepada kanak-kanak berusia 12 tahun, Alfirdaus yang lemas di Tali Air Jalan Parit Satu Barat, Sungai Besar, semalam.

Dalam kejadian 5.50 petang itu, mangsa yang juga murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Utama dipercayai memancing di lokasi kejadian sebelum terjatuh dalam tali air sedalam dua setengah meter itu.

Mangsa disahkan meninggal dunia ketika dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam.

Mokhtarudin ketika ditemui di rumahnya di Parit Satu Barat, berkata dia tidak menyangka anak sulung daripada empat beradik itu berada di lokasi kejadian yang kerap meragut nyawa penduduk setempat.

"Sebelum ini, saya sering menasihati arwah supaya tidak pergi ke lokasi itu kerana air sangat deras terutama selepas hujan.

"Namun, perkara itu menjadi perkhabaran buruk buat saya sekeluarga apabila tiga rakannya datang ke rumah memberitahu arwah lemas di tali air itu. Ketika itu, saya segera menghidupkan kereta dan bergegas ke lokasi," katanya.

Menurutnya, Alfirdaus disifatkan sebagai anak mendengar kata selain pandai membawa diri dan tidak menyusahkan keluarga.

"Sepanjang hayatnya, arwah sering membantu saya dalam perniagaan kerepek dan dia sendiri menjualnya di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur.

"Lebih mengharukan, dia sanggup mendahulukan duitnya bagi membayar bil air dan api di kampung sehingga sanggup mengikat perut demi keluarga," katanya.

Perbualan antara wartawan dan Mokhtarudin terhenti seketika apabila dia tidak dapat menahan sebak mengenangkan perkara yang dilakukan Alfirdaus.

"Sejujurnya, arwah bukan budak pandai. Dia tidak pandai membaca dan menulis. Tetapi, dia handal dalam subjek Matematik sehingga gurunya terkejut melihat kebolehannya mengira.

"Selain itu, dia sanggup mengambil kelas tambahan Sabtu dan Ahad bagi memperbaiki kelemahannya dan tidak kisah berulang dari rumah menaiki basikal," katanya.

Mokhtarudin berkata, dia dan isteri, Nurliyana Hidayah Richell Abdullah, 37, reda dengan kejadian ini dan menganggap sebagai ketentuan Ilahi.

"Bagi saya, perkara lepas usah dikenang. Yang pergi, tetap akan pergi. Saya anggap perkara ini ujian dari Allah.

"Saya minta pihak berwajib meletakkan tanda amaran di tali air itu dan menasihati penduduk tidak melakukan sebarang aktiviti yang membahayakan diri sendiri," katanya.

Terdahulu, jenazah Alfirdaus disembahyangkan di Masjid Jamek Makmuriah 10 pagi hari ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Makmuriah.

Disiarkan pada: March 19, 2018 @ 12:29am
d