mutakhir

Anak kucing silap hari masuk bank

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

GARA-GARA tiga anak kucing terperangkap di dalam bank di Kangar, kakitangannya terpaksa bergegas ke premis terbabit pada cuti hujung minggu semalam bagi melepaskan ‘mangsa’ tersebut.

Anak kucing berkenaan disedari terperangkap oleh orang awam yang melalui premis tersebut di Jalan Seruling pada 7.35 malam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 30 minit menunggu kedatangan kakitangan bank terbabit untuk membebaskan tiga anak kucing yang terperangkap itu.

"Orang awam yang kebetulan melalui kaki lima di bank berkenaan terdengar suara anak kucing.

"Sesudah meneliti di sekitar kawasan berkenaan, dia mendapati tiga ekor anak kucing berkenaan terperangkap di dalam bank berkenaan," katanya.

Pihak bomba tiba di lokasi kira-kira lima minit selepas menerima laporan kecemasan berkenaan.

"Pihak bomba tidak memecahkan pintu bank berkenaan namun menelefon kakitangan bank untuk membuka pintu terbabit.

"Kita tidak pasti bagaimana ketiga kucing berkenaan boleh memasuki ke premis berkenaan.

"Kemungkinan anak-anak kucing terbabit sudah masuk lebih awal lagi namun terperangkap sehingga kakitangan yang terakhir meninggalkan premis berkenaan tanpa menyedari kehadiran mereka," katanya.

Terdahulu tular di media sosial sehingga menarik reaksi netizen apabila orang awam mengerumuni di hadapan bank berkenaan bagi mengeluarkan tiga ekor anak kucing yang terperangkap.

Bagaimanapun, sesudah menghubungi bomba, seorang kakitangan bank terpaksa datang ke premis berkenaan pada cuti hujung minggusemata-mata untuk menbebaskan anak-anak kucing berkenaan.

Disiarkan pada: March 19, 2018 @ 9:40am
d