mutakhir

Boleh bah, kalau kau...

Oleh Rafiqah Dahali

SAMPAH seberat 270 kilogram (kg) dikutip dalam tempoh hanya sejam oleh sekumpulan sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Trash Hero Borneo yang melakukan aktiviti pembersihan di pantai dan pesisir Pulau Sepanggar, Kota Kinabalu.

Kerja pembersihan itu dilakukan enam ahli pertubuhan itu dengan kerjasama dua petugas Borneo Nature Explorer, termasuk berenang untuk mengutip sampah-sarap yang timbul di permukaan laut.

Antara sampah yang paling banyak dikutip ialah plastik, bungkusan makanan, botol, lampin pakai buang dan bekas polisterin.

Pengasas bersama Trash Hero Borneo, Monica Chin, berkata aktiviti pembersihan mengutip sampah di laut itu sudah dilakukan beberapa kali.

''Selain untuk membersihkan laut dan kawasan pantai, Trash Hero Borneo melakukan aktiviti ini demi memberi kesedaran kepada orang awam untuk lebih peka terhadap kebersihan alam sekitar.

''Kami berharap inisiatif ini menjadi permulaan kepada usaha Trash Hero Borneo menyampaikan kesedaran kepada orang awam untuk tidak membuang sampah sesuka hati sama ada di darat atau di laut,'' katanya kepada NSTP.

Harvisanth Singh, 12, antara ahli Trash Hero Borneo termuda yang mengikuti aktiviti pembersihan di Pulau Sepanggar.

''Saya telah beberapa kali mengikuti aktiviti mengutip sampah di pantai bersama Trash Hero Borneo, namun ini kali pertama saya berenang sambil mengutip sampah di laut.

''Mengutip sampah di laut sangat mencabar berbanding di pantai, malah saya juga disengat obor-obor kecil ketika berenang tadi,'' kata murid Sekolah Kebangsaan (SK) Penampang itu.

Trash Hero World yang diasaskan Roman Peter dari Switzerland bermatlamat mendidik masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan dan memupuk sifat cintakan alam sekitar.

Disiarkan pada: March 19, 2018 @ 10:44am
d