mutakhir

Ais kepal Sarinah menjadi

Oleh HM Digital

Melaka: “Saya anggap ia rezeki luar jangkaan kerana percubaan menjual ais kepal ini diterima ramai dan pelanggan menyukai rasa asli serbuk coklat yang diadunkan,” kata peniaga ais kepal, Sarinah Samat, 29, yang kini tidak menang tangan melayani pelanggan yang singgah ke gerainya di Jalan Bunga Raya di tepi jalan Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Semabok.

Walaupun baru dua bulan memperkenalkan menu ais kepal itu, ia ternyata mendapat sambutan ramai malah turut didatangi pelanggan dari Negeri Sembilan dan Pahang.

Ibu kepada dua anak itu berkata, dia hanya mengetahui adanya menu ais kepal apabila terlihat iklan sewaktu bercuti ke Sungai Buloh, Selangor, akhir tahun lalu sebelum mengambil keputusan memperkenalkan menu itu di gerai miliknya.

“Mungkin sudah rezeki kami sekeluarga walaupun tidak pernah memakannya. Selepas pulang, saya cuba adunkan resepinya untuk mendapatkan rasa yang enak, malangnya tidak menjadi.

“Akhirnya, percubaan kali ketiga adunan serbuk coklat yang dibuat menjadi dan memenuhi citarasa, sebelum saya memberanikan diri dan mula menjualnya di gerai. Adunan yang dibuat menggunakan serbuk coklat sepenuhnya tanpa ditambah air,” katanya, semalam.

Sarinah berkata, ais kepal itu mendapat permintaan tinggi malah pelanggan sanggup beratur panjang.

“Bagi memastikan pelanggan tidak merungut dan berpanas lama menunggu giliran, saya menambah bilangan pekerja di gerai.

“Pada awalnya hanya enam liter adunan coklat digunakan untuk sehari namun ia semakin bertambah dan kini saya perlu menyediakan adunan coklat sebanyak 220 kilogram (kg) sehari bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Memang tidak sangka resepi saya dapat memenuhi cita rasa pelanggan dan paling penting harga yang ditawarkan juga mampu untuk semua lapisan iaitu setiap bekas ais kepal hanya dijual pada harga RM4,” katanya.

Setiap hari dia memerlukan lebih 70kg serbuk coklat dan tiada serbuk lain dicampur untuk membuat adunan kerana walaupun kosnya agak tinggi, tetapi rasa asli daripada serbuk coklat sebenar perlu dikekalkan.

Pelanggan, Zaki Mohd Aris, 25, bersama dua lagi rakannya sanggup menempuh perjalanan lebih sejam dari Port Dickson, Negeri Sembilan untuk merasai ais kepal yang tular di media sosial yang rata-rata mengatakan sedap.

Disiarkan pada: March 19, 2018 @ 11:32am
d