mutakhir

Mayat 'terbiar' timbul tanda tanya

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

Kuala Lumpur: Penemuan mayat seorang lelaki dipercayai mangsa langgar lari di Kilometer 34.3 Lebuhraya Shah Alam (KESAS) di laluan arah USJ menuju Klang jam 2.20 pagi semalam menimbulkan tanda tanya berikutan kenderaannya tiada di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Superintendan Azman Shari’at berkata, mangsa dikenali sebagai Al Baharin Mohdzlan, 31, dipercayai menunggang motosikal berikutan penemuan topi keledar di sisi mayatnya.

“Pada jam 2.20 pagi tadi (semalam), kita menemui mayat seorang lelaki di kedudukan lorong paling kanan di Kilometer 34.3 Lebuhraya KESAS.

“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Azman berkata, bagaimanapun pemeriksaan tidak menemui motosikal di lokasi mangsa ditemui meninggal dunia.

“Sebaliknya, polis hanya menemui satu topi keledar merah di sisi mayat lelaki itu, berdasarkan penemuan topi keledar itu, kita percaya mangsa menunggang motosikal yang belum lagi dikenal pasti.

Motosikal dipercayai dibawa balik oleh ahli keluarga ke rumah mereka di Desa Mentari, Petaling Jaya.

Pihak polis sudah membawa motosikal ke IPD Subang Jaya untuk siasatan lanjut.

Katanya, polis meneliti jika ada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

“Buat masa ini, siasatan menjurus kepada kes langgar lari mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kita berharap saksi kejadian tampil membuat laporan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohamad Hamdan Jeramatin di talian 019 4642222,” katanya.

Disiarkan pada: March 20, 2018 @ 6:03am
d