mutakhir

Bukit batu kapur kaya fosil dalam bahaya

Oleh Amin Ridzuan Ishak

Kuantan: Adakah Bukit Mengapur di Maran yang terbina daripada fosil cengkerang, hidupan laut dan terumbu karang berusia ratusan juta tahun akan musnah bagi memberi laluan untuk industri?

Itu persoalan dibangkitkan Ahli Geologi dan Palaentologi di Institut Geologi Malaysia (IGM), Ahmad Rosli Othman P Geol yang mahu kerajaan memelihara geotapak bersejarah berkenaan untuk tatapan generasi masa depan bagi tujuan geopelancongan, rekreasi dan penyelidikan saintifik.

Difahamkan, ada pihak mengemukakan permohonan meneroka kawasan itu dan kini dalam proses mendapatkan ulasan teknikal daripada jabatan kerajaan bagi mendapat kebenaran pajakan.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada ia untuk perlombongan mineral, kuari atau kilang simen.

Ahmad Rosli berkata, beliau mendapat maklumat ada permohonan baru dibuat pihak industri untuk mengeksploitasi kawasan itu dengan memusnahkan bukit kapur di Bukit Mengapur yang disifatkan membimbangkan daripada sudut pemeliharaan khazanah alam sekitar semula jadi.

Katanya, batu kapur itu sendiri adalah fosil terbina daripada cengkerang hidupan laut dan terumbu karang berusia ratusan juta tahun lampau dan cerapan pada batu kapur di sana menunjukkan kehadiran fosil fusulind berusia 265-259 juta tahun seperti terkandung dalam jurnal palaentologi hasil penemuan dari penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Kita bimbang ia akan menerima nasib sama seperti bukit batu kapur Panching (Kuantan) yang sangat kaya dengan fosil hidupan laut cetek berusia 330 juta tahun, batu kapur menyimpan rahsia bumi ratusan juta tahun yang tidak ternilai harganya.

“Bukit batu kapur adalah satu monumen bersejarah menyimpan sejarah bumi Pahang, kewujudannya membuktikan bahawa ratusan juta tahun lampau bumi negeri ini adalah sebuah lautan cetek dihuni haiwan purba termasuk terumbu karang,” katanya.

Disiarkan pada: March 20, 2018 @ 6:15am
d