mutakhir

Tiga hari lagi [METROTV]

Oleh Lizam Ridzuan

PERSIAPAN semakin rancak dilakukan untuk menyambut kehadiran lebih 100,000 peminat motosikal berkumpul hujung minggu ini bersempena Minggu Permotoran Malaysia atau Malaysia Bike Week 2018 (MBW 2018).

Dilangsungkan dari 23 hingga 25 Mac 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang pelbagai aktiviti dan hadiah menarik disediakan sempena jambori permotoran terbesar di Malaysia itu.

Paling utama ialah cabutan bertuah bernilai RM500,000 termasuk 40 unit motosikal daripada model Yamaha Y15 dan Benelli bakal dimenangi pengunjung.

Tinjauan Harian Metro siang tadi di kawasan pameran utama mendapati kerja mendirikan pentas utama sudah disiapkan serta khemah perasmian dan pameran juga sudah didirikan.

Ketua Pegawai Operasi MAEPS, Norafizah Rahman berkata, persiapan MBW 2018 sudah mencapai 60 peratus.

"Antara yang menarik untuk dipamerkan kepada pengunjung ialah motosikal Harley-Davidson yang eksklusif kegunaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dalam Kembara Mahkota Johor serta edisi khas untuk pertabalan beliau," katanya ketika ditemui, hari ini.

Sebanyak 40 motosikal Harley-Davidson koleksi peribadi Sultan Ibrahim dijangka dipamerkan termasuk tujuh daripadanya yang tiba di MAEPS, hari ini.

Selain motosikal turut dipamerkan ialah trak Mack, kereta klasik dan kenderaan pacuan empat roda yang unik milik Sultan Ibrahim Iskandar.

Aktiviti lain diadakan sepanjang tiga hari itu yang akan dirasmikan oleh Sultan Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi ialah ceramah daripada ikon pemotoran, program pendidikan, promosi produk dan pertandingan tunggangan selamat.

"Pengunjung hanya perlu membeli baju-T MBW 2018 berharga RM35 sehelai dan akan mendapat sekeping kupon melayakkan mereka memenangi cabutan bertuah yang ditawarkan," tambahnya lagi.

Media Prima Berhad selaku antara rakan media rasmi akan menganjurkan konsert membabitkan barisan artis popular antaranya Awie, Ella dan Akim & The Majistret.

Disiarkan pada: March 20, 2018 @ 7:09pm
d