mutakhir

Hanya boleh gerak tangan saja

Oleh Syahid Sokri

AKIBAT pernah dihempap konkrit hingga beberapa organ utama dan tulang rosak, enam tahun lalu, Aziana Shaari kini hanya mampu terbaring sepanjang masa di rumahnya di Kampung Bakar Bata, Pinang Tunggal, Sungai Petani.

Aziana, 14, yang terlalu kurus hingga menampakkan rangka tidak mampu untuk makan atau minum seperti kanak-kanak lain melainkan bergantung sepenuhnya kepada susu khas hingga menyebabkan berat badannya sekadar 17 kilogram (kg).

Remaja itu berkata, keadaannya berpunca apabila mahu memetik buah mangga dengan memanjat dinding rumah setinggi dua meter sebelum terjatuh hingga menyebabkan dirinya dihempap konkrit.

"Saya hanya mampu menangis dan menjerit sebelum badan terasa kebas dan menyucuk tanpa dapat menggerakkan anggota badan manakala darah membuak-buak keluar dari mulut saya

"Pemeriksaan doktor mendapati paru-paru hancur akibat tertusuk tulang rusuk yang patah, usus terkoyak, buah pinggang rosak dan pundi kencing bocor.

"Pihak hospital menggantikan tiga tulang belakang dengan plat besi titanum bagi menggabungkan semula struktur tulang yang hancur hingga menyebabkan saya lumpuh separuh badan dan hanya mampu duduk di kerusi roda khas," katanya yang hanya mampu menggerakkan tangan sahaja.

Sementara itu, ibunya, Fatimah Hashim, 47, berkata, dia kini terpaksa mengharapkan bantuan bagi menampung kos pembedahan tulang leher anaknya yang semakin membengkak dan pelapik tulang pinggul.

"Kos berkenaan sekitar RM 30,000 dan saya tidak mampu menyediakan wang sebanyak itu kerana hanya bekerja sebagai pembantu kedai runcit dan pada masa sama perlu membeli susu khas berharga RM60 setin.

"Aziana turut menghidap diabetes menyebabkan dia memerlukan penjagaan rapi termasuk tilam dan katil seperti digunakan di hospital jika tidak kulit pinggulnya melepuh dan bernanah sehingga pernah menampakkan tulang," katanya.

Terdahulu, Aziana menerima bantuan daripada Naib Timbalan Pengerusi Persatuan Sayang Sungai Petani, Kamaruddin Kassim dan Annuar Fadzil.

Disiarkan pada: March 20, 2018 @ 10:28pm
d