mutakhir

'Betul ka pistol tu?'

Oleh Siti Rohana Idris

DUA lelaki menyamar sebagai pembaca meter elektrik sebelum menyamun seorang warga emas di Kampung Kok Seraya, Tumpat, petang hari ini.

Dalam kejadian 3 petang itu, mangsa berusia 61 tahun bersama isterinya berada di dalam rumah sebelum didatangi dua lelaki berusia 20-an yang kononnya ingin memeriksa wayar elektrik.

Ketua Polis Daerah Tumpat Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, dua lelaki terbabit terus masuk ke dalam rumah dan berpura-pura untuk membuat pemeriksaan.

Katanya, secara tiba-tiba salah seorang suspek merentap seutas rantai emas dari leher mangsa yang berbangsa Siam.

"Mangsa mendakwa dia kemudian diacukan objek menyerupai pistol, namun dia tidak dapat melihat senjata itu dengan jelas.

"Suspek kemudian mengambil beg duit sebelum menendang tangan kiri mangsa," katanya.

Beliau berkata, suspek terus melarikan diri dengan motosikal Yamaha berwarna putih ke arah Tumpat.

Menurutnya, kejadian berlaku dengan pantas menyebabkan mangsa tidak sempat mengecam wajah suspek selain tiada saksi di lokasi kejadian.

Katanya, pihaknya sedang memburu kedua-dua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: March 20, 2018 @ 11:33pm
d