mutakhir

Akta baru majukan pangsapuri uzur

Oleh Nur Saliawati Salberi

KERJAAN akan memperkenalkan akta baharu berkaitan pembangunan semula hartanah khususnya pangsapuri uzur bagi membolehkan projek dibuat tanpa sebarang bantahan oleh mana-mana pihak.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, pihaknya berkeyakinan sebaik akta itu dikuatkuasakan kelak sebarang pembangunan baharu dapat dijalankan tanpa sebarang gangguan serta bantahan.

"Kita dapati banyak rumah lama mungkin berusia 20 tahun dahulu yang sesuai pada waktu itu berkeluasan 55.7 meter persegi, dan ini akan dibangunkan semula.

"Tetapi apabila kita laksanakan ini banyak halangan dan rintangan daripada pihak pembangkang seperti di Residensi Kerinchi yang mana 30 orang terpengaruh dengan hasutan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong, Melaka yang turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, malam tadi.

Noh berkata, melalui undang-undang itu nanti, kerajaan akan wujudkan juga perbadanan pengurusan perumahan awam.

"Bukan sahaja undang-undang baharu, mesti ada sebuah perbadanan diwujudkan termasuk boleh memanfaatkan perbadanan pengurusan awam yang dirancang," katanya.

Sementara itu, Noh berkata, 7,000 PPR akan dibina pada tahun ini di seluruh negara membabitkan peruntukan sebanyak RM700 juta.

Daripada jumlah itu 620 unit dibina di Melaka masing-masing 500 di Cheng dan 120 lagi di Tangga Batu," katanya.

Disiarkan pada: March 21, 2018 @ 1:43am
d