mutakhir

Adnan nafi bertanding kerusi Parlimen

Oleh Nazirul Roselan

Bentong: Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob menafikan khabar angin mengatakan dirinya akan bertanding kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sebaliknya, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang membayangkan akan ada calon bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Memang kita akan cuba meletakkan calon boleh bertanding dua kerusi, tetapi saya tidak termasuk dalam kategori itu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Projek Perumahan Rakyat Kampung Baris di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran Negeri Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Sementara itu, Adnan berkata, manifesto yang akan diperkenalkan pihaknya akan memberikan fokus kepada usaha membantu rakyat dan bukan janji tidak realistik.

Pengerusi Barisan Nasional Pahang itu memberitahu manifesto terbabit sudah siap dan ditambah baik demi memastikannya benar-benar menjurus kepada usaha membantu rakyat.

“Intipati kita lebih kepada untuk rakyat dan bukan janji macam-macam. Tetapi kita lihat perkara boleh bagi kepada rakyat seperti biasiswa kepada sekolah rendah dan menengah,” katanya.

Disiarkan pada: March 21, 2018 @ 3:28am
d