mutakhir

Bina 1,062 lagi RMMJ

Oleh Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Sebanyak 1,062 rumah membabitkan Rumah Jenis Pakej A, Pakej B dan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) akan dibangunkan di kawasan Kampung Melayu Pandan, di sini.

Rumah kos rendah yang ditawarkan itu merangkumi Rumah Jenis Pakej A pada harga RM30,000, Pakej B (RM50,000) dan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) pula RM120,000.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, projek yang dilaksanakan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) itu adalah satu pelan penyediaan penempatan semula di atas sebahagian Lot 1876, Mukim Plentong, Johor Bahru.

Rumah akan dibina bagi memberi banyak manfaat terutama kepada 749 keluarga yang sebelum ini menghuni lebih 40 tahun di penempatan setinggan, namun kini mampu menduduki kediaman lebih selesa.

“Setiap perkampungan setinggan memerlukan penyelesaian yang berbeza bergantung kepada keluasan tanah dan kedudukan kampung.

“Tetapi, semuanya berasaskan kepada kesesuaian dan manfaat yang maksimum yang pada pandangan kerajaan negeri terbaik untuk rakyat.

“Pendekatan kerajaan negeri dalam membangunkan Johor untuk melaksanakan usaha berasaskan dasar yang berpaksikan kepada kepentingan rakyat,” katanya pada Majlis Ramah Mesra bersama penduduk Kampung Melayu Pandan (Jalan Imam) di Padang Awam Jalan Imam Kampung Melayu Pandan, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ, Abdul Razak Mohd Yusoff.

Mohamed Khaled berkata, pembangunan bertingkat itu akan dilengkapi segala kemudahan, selain penduduk boleh tinggal secara komuniti.

“Dalam pembangunan semula ini, mesti beri peluang kepada semua penduduk asal yang meneroka tanah ini supaya memiliki rumah sendiri dan tinggal di kawasan yang tersusun, cantik dan selesa.

“Paling penting, boleh mewarisi harta yang ada di kawasan bandar kepada generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, Abdul Razak menerusi kenyataannya berkata, Rumah Jenis Pakej A (276 unit) akan dibangunkan dengan setiap unit berukuran 69.68 meter persegi.

Rumah Jenis Pakej B ( 276 unit) berukuran 78.97 meter persegi bagi setiap unit. RMMJ pula akan dibangunkan dengan setiap unit berukuran 92.90 meter persegi.

“KPRJ akan memastikan amanah diberikan kerajaan negeri dalam membangunkan semua komponen perumahan di kawasan itu dilaksanakan sebaik-baiknya.

“Penempatan semula setinggan adalah langkah pembangunan inklusif. Ia antara agenda pembangunan untuk memastikan mereka terus berada dalam bandar dengan menyediakan perumahan mampu milik sejajar dengan setinggan sifar, sekali gus merealisasikan misi Dekad Baharu Johor,” katanya.

Disiarkan pada: March 21, 2018 @ 3:54am
d