mutakhir

Dicekup tengah bungkus dadah

Oleh Zuliaty Zulkiffli

LELAKI yang diburu polis sejak lebih dua bulan lalu kerana disyaki terbabit dengan dadah akhirnya ditahan polis dalam serbuan di rumah di Felda Sungai Tiang, Pendang, petang semalam.

Lelaki berusia 51 tahun itu dikatakan licik dan polis pernah mencarinya di rumah berkenaan sebelum ini, namun dia berjaya melarikan diri sehingga gagal dikesan.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Fadzil Hashim berkata, sepasukan anggotanya dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang yang diketuai Asisten Superintendan Muhamad Amin Md Yassin menyerbu rumah terbabit 7 petang semalam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemui suspek di tingkat atas rumah berkenaan dan sedang duduk di atas lantai kayu.

"Hasil pemeriksaan pada tubuh badannya tidak menemui apa-apa dan pemeriksaan lanjut di atas lantai kayu di hadapan tempat suspek duduk itu menemui satu paket plastik lutsinar yang berisi dadah heroin anggaran berat 28.75 gram.

"Selain itu turut ditemui satu paket plastik lutsinar yang berisi serbuk hablur jernih disyaki dadah syabu 1.38 gram serta alat penimbang digital bertulis perkataan ‘AOSAI’.

"Kesemua barangan terbabit termasuk dadah itu dirampas dan dibawa balik ke pejabat Narkotik IPD Pendang Kedah untuk tindakan selanjutnya bersama suspek terbabit," katanya.

Fadzil berkata, berdasarkan rekod, suspek disyaki pernah terbabit dengan kes berkaitan dadah membabitkan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (1 kes), Seksyen 39A (1) ADB 1952 (1 kes), Seksyen 12 (2) ADB 1952 (4 kes) dan tiga kes bagi Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK).

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing terhadapnya mendapati dia positif dadah jenis morfin dan ditahan untuk siasatan lanjut.

"Selain itu kita turut merampas wang tunai sebanyak RM470 untuk membantu siasatan sama ada wang itu mempunyai kaitan dengan jual beli dadah.

"Suspek yang juga seorang duda itu ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dikenakan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan," katanya.

Disiarkan pada: March 21, 2018 @ 12:04pm
d