mutakhir

'Kena pergi sekolah walau tiada wang saku'

Oleh Noorazura Abdul Rahman

KETIKA remaja lain sedang bergembira menunggu tawaran menyambung pelajaran ke menara gading setelah memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), seorang gadis terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Siti Norfatihah Norshahrin, 18, dari Kampung Belakang Stadium, Alor Setar perlu bekerja sebagai tukang cuci di sekolah berhampiran rumahnya demi memastikan kelangsungan hidup mereka sekeluarga.

Katanya, dia tidak mempunyai pilihan lain kerana bapanya Norshahrin Halim, 45, tidak mampu bekerja akibat masalah saraf dan tulang selepas kemalangan lima tahun lalu.

"Saya memperoleh keputusan SPM 7A, 1B+, 1C dan 1D baru-baru ini, jika layak, saya merancang untuk menyambung pelajaran ke Universiti Utara Malaysia (UUM), jadi saya perlu mencari duit sebagai persediaan untuk ke universiti serta menyara keluarga.

"Bapa saya tidak mampu bekerja lagi, ibu saya pula, Sarah Bee Bee M S M Ibrahim, 57, hanya suri rumah dan perlu menjaga moyang saya yang terlantar akibat sakit tua," kata anak kedua daripada empat beradik ini.

Siti Norfatihah berkata kakak sulungnya kini berada di tingkatan enam atas turut bekerja di gerai makan semasa cuti sekolah untuk membantu keluarga.

Katanya, adalah menjadi kebiasaan dia dan adik beradik hanya menjamah nasi berkuahkan sup bawang dan garam, malah ibu bapanya pernah bergilir-gilir berpuasa bagi memastikan mereka adik beradik dapat makan.

"Ibu dan ayah saya sudah biasa ikat perut apabila bekalan beras semakin kurang, asalkan dapat makan untuk hidup sudah memadai, yang penting kami dapat ke sekolah setiap hari.

"Orang tua saya sangat mementingkan ilmu, mereka akan pastikan kami adik beradik ke sekolah setiap hari walaupun tiada wang saku," katanya yang bercita-cita menjadi akauntan.

Sementara itu, Norshahrin yang pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor selama 22 tahun, hilang mata pencarian apabila dia hanya mampu berdiri tidak lebih daripada setengah jam akibat masalah saraf.

Katanya dia pernah pergi bekerja semula selepas kemalangan, namun dinasihatkan berhenti kerana kerap mengambil cuti sakit.

"Pada Oktober 2016, saya bersara dan mengambil keputusan pulang ke sini selepas itu kami hanya mengharapkan bantuan orang ramai termasuk guru sekolah anak-anak saya untuk kelangsungan hidup.

"Kemudian pada Oktober tahun lalu, nenek saya, Rofeah Endut, 95, mendapat bantuan kewangan sebanyak RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), manakala saya RM200 sebulan, wang itu hanya cukup digunakan untuk membeli barang keperluan termasuk lampin pakai buang nenek saya," katanya.

Disiarkan pada: March 21, 2018 @ 12:27pm
d