mutakhir

Pasal prepaid pun nak belasah bini

Oleh Mohd Rizal Abdullah

HANYA kerana menggunakan telefon suaminya sehingga kehabisan kredit prabayar, wanita cedera selepas dibelasah suaminya dalam kejadian berhampiran pondok sawah padi di Long Tabing, Tinjar, Miri, awal bulan lalu.

Bagaimanapun, suspek berusia 29 tahun itu sudah ditahan polis di kediamannya di Tinjar pada 1.30 petang, semalam, selepas mangsa berusia 37 tahun itu membuat laporan polis di Balai Polis Beluru, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Marudi Deputi Superintendan Gabriel Risut berkata, kejadian berlaku pada 5 Mac lalu ketika mangsa berada bersama suspek di pondok berkenaan sebelum mangsa meminta telefon suspek untuk menghubungi saudaranya.

"Bagaimanapun, suspek berang apabila mendapati kredit prabayarnya habis dan meminta mangsa menggantikan kredit prabayarnya itu semula," katanya.

Katanya, mangsa tidak mengendahkan permintaan suspek dan ke sungai berhampiran untuk membersihkan diri.

"Bagaimanapun, suspek terus masuk ke dalam sungai dan membelasah mangsa dengan menumbuk di bahagian mata, peha dan pinggang mangsa ," katanya.

Katanya lagi, kejadian itu bukan pertama kali kerana mangsa sering dipukul sebelum ini hanya disebabkan masalah remeh dan kes itu disiasat mengikut 323 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: March 21, 2018 @ 1:48pm
d