mutakhir

Sorok pistol bawah bantal [METROTV]

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

TINDAKAN dua lelaki menyorok sepucuk pistol di bawah bantal bagi mengaburi mata pihak berkuasa tidak berjaya apabila ditahan dalam serbuan di rumah di Jalan Bunga Raya, Rantau Panjang, malam tadi.

Dua lelaki berusia 20 dan 26 tahun itu ditahan dalam serbuan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas pada 11.30 malam.

Pemeriksaan lanjut turut menemui kelongsong serta peluru dalam bantal.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata hasil intipan dan maklumat orang awam, pihaknya membuat serbuan di rumah terbabit dan menahan dua lelaki.

Katanya, hasil pemeriksaan di bilik tidur, pihaknya menemui pistol jenis Revolver .38 Smith dan Wesson berisi empat butir peluru.

"Pemeriksaan lanjut menemui beg warna hitam mengandungi satu gari dan sekotak rokok berisi lima peluru serta dua kelongsong peluru yang diletakkan dalam bantal.

"Polis juga merampas dadah jenis syabu seberat 0.65 gram dan satu tiub straw berisi sebiji pil kuda yang bernilai RM100,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kota Bharu, hari ini.

Menurutnya, dua suspek yang memiliki rekod lampau dadah dan pecah rumah dipercayai menggunakan pistol untuk melakukan kegiatan samun dan dadah.

"Kita percaya pistol yang dirampas dibeli dari negara jiran dengan harga RM6,000.

"Suspek direman dan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960 serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Beliau berkata, bagi tempoh 2016 hingga hari ini, pihaknya menahan seramai 84 orang membabitkan 50 kes rampasan pistol serta 1,351 butir peluru.

Disiarkan pada: March 21, 2018 @ 2:51pm
d