mutakhir

Peguam dituduh ubah wang haram RM9j

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

PEGUAM dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas 90 pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah lebih RM9 juta, tujuh tahun lalu.

How Chee Hong, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-90, tertuduh didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara memindah, menerima dan menggunakan wang keseluruhan berjumlah RM9,056,134 iaitu hasil aktiviti haram daripada akaun semasa-i CIMB Bank Bhd milik firma guaman, Tetuan Kumar Jaspal Quah & Aishah kepada beberapa pihak.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Bhd cawangan Solaris Mont Kiara, Kuala Lumpur antara 10 Januari 2011 dan 13 Januari 2012.

Bagi pertuduhan itu, lelaki berkenaan didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(a) dibaca bersama 87(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syafinas Shabudin manakala tertuduh diwakili peguam Datuk K Kumaraendran.

Terdahulu, Syafinas mencadangkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan namun Kumaraendran memohon mahkamah memberikan jaminan yang rendah ke atas anak guamnya atas alasan tertuduh tiada risiko melarikan diri selain telah memberi kerjasama baik sepanjang siasatan kes berkenaan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM150,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 23 April ini.

Disiarkan pada: March 21, 2018 @ 3:59pm
d