mutakhir

Syukur negatif kencing tikus

Oleh Mohd Sabran Md Sani

JABATAN Kesihatan Negeri Johor mengesahkan semua 11 sekeluarga yang dipercayai menghidap penyakit kencing tikus atau Leptospirosis ketika bercuti di Pusat Rekreasi Hutan Lipur Gunung Belumut, Kluang, bulan lalu, disahkan bebas penyakit itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, semalam dua beradik berusia tujuh dan lima tahun yang sebelum ini disahkan positif penyakit itu turut dibenarkan keluar dari Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim Kulai.

"Berdasarkan ujian darah, kesemua ahli keluarga berkenaan disahkan bebas penyakit kencing tikus termasuk sembilan yang pada mulanya mempunyai gejala sama.

"Dua beradik yang sebelum ini ditahan di wad selepas disahkan positif Leptospirosis juga dibenarkan keluar dari hospital semalam," katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini sembilan sekeluarga yang ditahan di hospital selepas dipercayai menghidap penyakit kencing tikus akibat mandi di Pusat Rekreasi Hutan Lipur Gunung Berlumut bulan lalu.

Seramai 30 ahli keluarga bercuti selama tiga hari di kawasan rekreasi berkenaan, namun dua disahkan positif Leptospirosis, manakala sembilan yang lain mempunyai gejala sama dan menjalani pemeriksaan lanjut.

Dua kanak-kanak itu pada mulanya dimasukkan ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim Kulai pada 23 Februari lalu selepas muntah dan cirit-birit sebelum dibenarkan pulang.

Pada masa sama pihak berkuasa mengambil tindakan dengan membuat kajian menyeluruh di pusat rekreasi berkenaan dan mengarahkan penutupan sementara.

Setakat ini lima sampel air gunung dan empat sampel tanah sudah dianalisa Makmal Kesihatan Awam Johor Bahru dan mendapati dua sampel berkenaan positif penyakit itu.

Berita berkaitan:

9 sekeluarga dikhuatiri hidap kencing tikus

Disiarkan pada: March 21, 2018 @ 6:18pm
d