mutakhir

[UPDATE] Semoga ada sinar harapan [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh dan Badrul Kamal Zakaria

BUNYI balasan ketukan pada dinding kapal ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan memberikan sinar harapan bahawa semua 14 kru kapal korek yang hilang pagi tadi, masih hidup.

Timbalan Pengarah Maritim (Operasi) Maritim Malaysia Wilayah Selatan, Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata, maklum balas ketukan itu diperoleh pasukan SAR, 3.30 petang tadi.

Katanya, keadaan ruang dalaman kapal korek berkenaan yang besar dipercayai memberi ruang udara mencukupi buat semua mangsa bertahan.

“Kita percaya mangsa yang hilang masih hidup berikutan pasukan SAR yang membuat ketukan pada dinding kapal menerima ketukan balas daripada mangsa yang terperangkap.

“Mangsa dijangka mampu bertahan antara 24 hingga 48 jam, namun kita akan berikan usaha yang terbaik menyelamatkan mangsa.

“Ini memberikan harapan baharu dalam operasi SAR dengan kita menempatkan lebih 20 anggota pasukan termasuk penyelam yang terdiri daripada Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” katanya pada sidang media di Pusat Operasi SAR di Pantai Leka, Parit Jawa, di sini.

Pagi tadi, NSTP melaporkan seorang kru ditemui lemas manakala 14 lagi masih hilang selepas kapal korek pasir terbalik di kedudukan kira-kira 8.5 batu nautika dari perairan Parit Jawa, 7.50 pagi tadi.

Tiga lagi kru berjaya diselamatkan.

Pusat Operasi Pangkalan Maritim Malaysia Pangkalan Batu Pahat menerima panggilan kecemasan memaklumkan kapal berkenaan terbalik dengan 18 kru dipercayai terperangkap di dalam kapal itu 8.50 pagi.

Sanifah berkata, pasukan penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam perjalanan ke lokasi dengan menaiki kapal KD Mahameru dari Lumut, Perak dan dijangka tiba kira-kira 5 pagi esok.

Katanya, kepakaran penyelam TLDM diperlukan berikutan kejadian berlaku di perairan terbuka yang memerlukan kepakaran tinggi.

“Setakat ini, tiga mangsa yang berjaya diselamatkan serta seorang yang meninggal adalah warga China dan semua dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar.

“Baki 14 mangsa yang lain adalah seorang lelaki warga tempatan bertugas sebagai operator radio, seorang lelaki warga Indonesia, selain 12 warga China termasuk seorang wanita berusia antara 20 hingga 64 tahun,” katanya.

Beliau berkata, operasi SAR menumpukan usaha menyelamatkan nyawa mangsa termasuk melakukan pemerhatian di permukaan laut di lokasi sama ada mangsa berjaya menyelamatkan diri daripada bangkai kapal itu.

Katanya, operasi itu juga mendapat kerjasama dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Laut Malaysia sebagai langkah pencegahan sekiranya berlaku tumpahan minyak.

“Lebih 20 anggota pasukan SAR dan penyelam yang sedia ada membuat pemeriksaan serta bersiap sedia kerana lokasi kejadian berada di laluan kapal yang sibuk.

“Ini bagi memastikan laluan berkenaan selamat dan kapal lain tidak memasuki lokasi kejadian, ” katanya.

Berita berkaitan:

1 lemas, 14 hilang

[UPDATE] 50 anggota cari kru hilang

Disiarkan pada: March 21, 2018 @ 6:57pm
d