mutakhir

Rope swing: Akta Kanak-Kanak 2001 boleh digunakan

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

INDIVIDU yang mempertaruhkan nyawa anak mereka dengan melakukan aktiviti ekstrem 'rope swing' atau hayun tali boleh disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, perbuatan berkenaan mendedahkan kanak-kanak terbabit kepada bahaya kecederaan emosi atau fizikal.

"Saya berasa terperanjat dan kesal menyaksikan rakaman video seorang bapa yang sanggup mempertaruhkan nyawa anak sendiri dalam melakukan aktiviti ekstrem 'rope swing' ke dalam jeram.

"Perbuatan bapa dengan aktiviti ekstrem bersama anak kecilnya membelakangkan hak perlindungan dan keselamatan seorang kanak-kanak," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sabtu lalu, Fazil Mohamad Dali, 42, dan juara Fear Factor Malaysia 2014, Mohd Redha Rozlan atau Mat Redho memuat naik video pengalaman mereka melakukan terjunan 'rope swing' bersama anak masing-masing pada ketinggian 60 meter dari jambatan di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor.

Video berkenaan mendapat perhatian netizen yang kagum dengan keberanian dua kanak-kanak itu, namun tidak kurang mempersoalkan tindakan bapa masing-masing disifatkan membahayakan nyawa anak sendiri.

Dalam pada itu, Rohani berkata, paparan terjunan bebas bapa bersama anaknya seharusnya tidak dijadikan kebanggaan malah perlu dijauhi bagi memastikan kanak-kanak dilindungi dan dijauhi daripada perbuatan boleh mendatangkan bahaya.

"Justeru, saya menyeru orang awam melaporkan kes sedemikian kepada pihak berkuasa seperti yang diperuntukkan mengikut Seksyen 29A Kanak-Kanak 2001.

"Orang awam juga boleh membuat laporan polis supaya siasatan mengenai kes sedemikian dapat dilakukan mengikut peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kesedaran dan pelaporan orang awam melalui saluran sedia ada boleh mencegah kejadian ini daripada berulang serta keselamatan dan nyawa kanak-kanak yang mempunyai masa hadapan tidak disia-siakan melalui perbuatan tidak bertanggungjawab.

Disiarkan pada: March 21, 2018 @ 7:12pm
d